(Surat ini aku tulis sebagai simbolik suara untuk melepaskan dan membebaskan apa yang bergema di dada.)
Assalamualaikum.
Abang,
Setiap kali abang bertugas luar kawasan sekarang, segala bayangan lama datang semula.
Aku cuba tidur awal, aku pujuk diri, aku cuba kuat - tapi ketakutan itu datang tanpa izin.
Aku terjaga malam-malam, dada sesak, jantung laju dan fikiran berperang dengan bayangan yang tak pernah padam. Bayangan tentang telefon yang tak berbunyi, tentang mesej yang tak dibalas, tentang malam yang penuh harap tapi tak pernah disapa.
Aku jadi penjaga luka sendiri - menenangkan hati yang ditinggalkan, memujuk diri yang rasa tak disayangi, dan memikul perkahwinan ini dengan seluruh jiwa. Sementara abang... entah di mana, dengan siapa dan dalam dunia yang bukan lagi kami.
Aku tahu... kita sedang cuba pulihkan semuanya. Tapi luka itu masih berdarah dalam diam. Masih terasa bila aku peluk abang tapi tak rasa dilihat. Masih terasa bila aku senyum tapi jiwa menangis.
Aku tak mahu berdendam. Tapi aku mahu dihormati semula.
Dihargai.
Disayangi.
Dengan jujur.
Bukan atas rasa bersalah.
Aku perlukan ruang untuk sembuh. Aku perlukan abang untuk tidak lari dari kebenaran, walau pedih dan aku perlukan diriku sendiri - yang selama ini aku tinggalkan - untuk kembali pulang ke pelukan Allah, dan pelukan cinta yang benar.
Aku tak tulis ini untuk menyalahkan, tapi kerana aku tak sanggup lagi memendam. Ini adalah suara hati yang akhirnya mahu dilepaskan - bukan untuk menghakimi, tapi untuk membebaskan dari dari belenggu yang sudah lama mengikat.
Semoga Allah beri kita petunjuk dan beri aku kekuatan untuk terus menyayangi diri ini... walau cinta dari abang pernah melukakan.
- Aku