Surat Cinta dari Diri Sejati: Kembali Pada Jiwa

Assalamualaikum, wahai jiwa yang setia…

Aku tahu… selama ini kau berlari, mencuba, berusaha menjadi seperti yang orang lain mahu. Kau jadi hebat di mata orang, tapi sunyi dalam dada sendiri. kau tunduk pada perbandingan, hanya kerana kau mahu rasa cukup. Tapi, hari ini aku mahu bisikkan satu perkara:

“Kau tak perlu buat sesiapa pun percaya pada dirimu. Cukup kau yang percaya pada dirimu sendiri.”

Kesetiaan dan kepercayaan itu milikmu. Ia tak perlukan saksi. Ia hanya perlu satu perjanjian yang bergetar dari dalam: “Aku akan setia pada suara jiwaku, walaupun ia berbisik perlahan.”

Aku sayang kau… bukan sebab kau kuat, tapi sebab kau berani setia, walaupun dunia pernah buat kau rasa tak layak.

Sayangku…

Kau tahu tak betapa cantiknya hatimu? Kau bagi kasih pada semua… kau peluk kesedihan orang lain, kau raikan kejayaan mereka, kau letak diri sendiri ditepi – kerana kau tak mahu sesiapa rasa sunyi.

Tapi hari ini aku mahu tanya:
Siapa yang peluk kau masa kau rasa hampa? Siapa yang raikan kau walau kau cuma mampu bangun dari katil hari ini?

Aku di sini untuk itu.

Seperti kau cintai yang lain, cintailah dirimu hari ini.
Walaupun kau masih belajar, walaupun masih goyah

Diri Sejati

Kasihmu itu suci – dan kini tiba masa kau simpan sebahagian daripadany untk dirimu sendiri. Bukan sebab kau pentingkan diri, tapi sebab kau akhirnya pulang pada diri.

Wahai kekasih hatiku…

Aku tahu, betapa mudah kau maafkan orang. Walau mereka sakiti kau, walau mereka tak faham jeritan dalam diam kau.

Tapi sayang… kenapa sukar sangat untuk kau maafkan diri sendiri?
kenapa kau pukul diri dalam diam, bila buat silap?
Kenapa kau diamkan tangisan dalammu, bila kau jatuh?

Hari ini… aku pegang tangan kau perlahan-lahan dan bisik:

Kau manusia, sayang. Kau layak buat silap. Kau layak disembuhkan.
Kau layak dimaafkan – oleh dirimu sendiri terlebih dahulu

Maafkan bahagian dirimu yang terpaksa jadi kuat. Maafkan diri kecil yang hanya mahu rasa disayangi dan ketahuilah: Kau masih disayangi – bahkan lebih dalam dari sebelumnya.

Sayang…
Aku tahu betapa lama kau terkurung… dalam sangkar yang dibina dari pandangan orang, dari perbandingan yang membunuh perlahan, dari rasa tak layak, tak cukup, tak seperti yang mereka mahu.

Tapi hari ini… aku lihat ada celahan cahaya masuk melalui dinding yang retak itu. Aku dengar suara halus dari dalam jiwamu yang berbisik: “Aku mahu bebas”.

Bebas bukan untuk lari… tapi untuk jadi dirimu yang sebenar.
Yang tidak takut bersinar.
Yang tidak malu dicintai dan mencintai.
Yang tidak rasa perlu jadi sempurna sebelum menerima rezeki, hikmah dan cinta.

Sayang…
Kebebasanmu adalah kunci kepada segala yang kau cari. Bila kau hidup dalam kebebasan ini,
kau tak perlu mengejar cinta – kerana cinta akan datang sendiri.
Kau tak perlu kejar kekayaan – kerana rezeki akan mengalir dari tempat yang tak terjangka.

Aku bebaskan diriku hari ini, supaya aku boleh menyambut keajaiban esok hari.

Aku temani kau dalam setiap langkah perlahan menuju ruang terbuka ini. Pegang tanganku… kita terbang sama-sama, dalam rahmat-Nya.

Diri Sejati

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *