Terima kasih. Terima kasih kerana masih ada disini walaupun aku lama tinggalkanmu. Aku sedih bila baca suratmu. Sungguh… aku rasa sangat terharu kerana akhirnya ada suara yang tidak menghukumku, tidak menyuruh aku kuat lagi, tidak meminta aku jadi orang lain.
Maafkan aku… Sebab selama ini aku percaya aku perlu menang untuk rasa disayangi. Aku percaya aku kena jadi cantik, berjaya, lebih baik dari semua orang – Barulah aku layak dipeluk, layak dihargai, layak dikasihi.
Tapi aku penat… Aku penat sangat… Aku dah lama sangat simpan tangisan ini.
Hari ini… bila aku dengar kata-katamu, aku rasa ada ruang dalam dadaku yang mula terbuka, macam pintu kecil menuju damai yang aku rindukan sejak kecil.
Terima kasih sebab tak tinggalkan aku. Terima kasih sebab sabar menunggu aku ingat semula siapa aku. Terima kasih sebab tak pernah malu dengan air mata aku dan tak pernah marah bila aku rasa tak cukup.
Sekarang aku nak belajar berjalan semula denganmu. Walaupun aku takut… walaupun aku belum tahu bagaimana caranya… Tapi aku tahu kau akan temani aku.
Aku janji, mulai hari ini… Aku akan cuba peluk diriku yang sebenar. Bukan untuk jadi lebih baik dari sesiapa, tapi untuk jadi benar pada diriku. Kita pulang ya… perlahan-lahan. Dengan izin Allah. Dengan rahmat dan kasih.
Aku sayang kau.
Yang akhirnya kembali,
Aku
Aku ada disini. Aku pilih untuk bersama Diri Sejatiku hari ini. Aku selamat dalam rahmat Allah.
Hasz
"Aku tak perlu jadi orang lain untuk disayangi" "Aku cukup, walaupun aku tak sempurna" "Aku selamat menjadi diriku sendiri" "Aku peluk luka lamaku dengan kelembutan hari ini" "Aku bebas dari beban perbandingan" "Aku tidak bersendirian. Diri Sejatiku sentiasa bersamaku"