Menyentuh Jiwa Anak Lelaki

Umi sendiri tidak tahu bagaimana Allah mendidik hati anak ini, tapi umi bersyukur diberi peluang menyaksikan lembutnya cahaya itu dalam diri Ariff.

Bismillah

Angah hubungi umi bertanya khabar sebaik dia habis shift di hospital. Tenang aje suaranya seperti biasa tanya umi di mana, buat apa, kesihatan umi macam mana. Dia bercerita tentang seorang pesakit lelaki yang lumpuh – terbaring tanpa daya, perlu diuruskan segalanya. Dan angah, membantu menguruskan pesakit, termasuk gosokkan gigi dan bersihkan najis.

Terdiam umi dengar cerita angah. Tersentuh – betapa Allah memberi pengalaman yang mendidik jiwa, bukan hanya ilmu perubatan, tapi ilmu kasih sayang dan kemanusiaan.

Bila lama umi diam, angah terus sambung bercerita.

"Angah suka buat kerja ni umi. Angah tak kisah pun kena buat apa"

Umi senyum dalam hati. Syukur Ya Allah.. Engkau hadirkan dalam hidup umi seorang anak lelaki yang belajar mencintai pekerjaan dengan jiwa, bukan sekadar rutin. Umi cuma mampu berpesan,

"Niatkan setiap sentuhan itu untuk dirimu dan kerana Allah ya sayang"

Umi tidak sempurna. Tapi umi mahu terus menjadi saksi kasihMu Ya Allah – melalui anak-anak umi, melalui detik-detik kecil yang Kau hadiahkan setiap hari.

Ya Allah, pelihara hatinya. Lembutkanlah tangannya dan jiwanya dalam memberi. Jadikanlah amal kecilnya bekal yang besar untuk akhirat

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *