Kasih Sepotong Kek

Beberapa tahun lalu, umi diuji dengan keadaan yang sukar. Luka yang tidak kelihatan pada jasad, tetapi berdarah di hati dan jiwa. Ketika itu umi hilang banyak perkara. Termasuk seorang sahabat yang umi anggap seperti kakak umi sendiri.

Kami mula berkenalan ketika bekerja dahulu. Dialah tempat umi bercerita, berkongsi, meluah perasaan, menangis dan ketawa bersama. Dia jugalah yang umi pinjam bahunya di saat umi hilang dan keliru. Tapi setelah gangguan sihir datang dalam hidup umi, hubungan kami turut berubah. Dia terpaksa menjarakkan diri. Bukan kerana dia membenci, tetapi kerana dia juga terkena tempias dari ujian yang umi alami.

Umi pernah rasa sangat sedih dan sunyi waktu itu. Rasa kehilangan. Umi tak marah, cuma terluka. Umi sedari bahawa Allah jauhkan dia bukan kerana Allah ambil kasih itu daripada umi – tetapi kerana Allah mahu umi belajar bersandar hanya kepada-Nya. Seketika Allah ambil tempatnya… agar umi pulang ke pangkal, bersujud dan berkata, “Cukuplah Allah bagiku.”

Dua hari lepas, umi teringat kek yang selalu kakak buat. Kek yang pernah menjadi penenang kecil di hari-hari bergelora. Dengan hati yang tulus, umi kirim pesanan ringkas kepadanya “Kakak.. adik teringat kek butter yang ada kacang walnut di dalamnya.” Tiada harapan besar. Sekadar ingatan.

Tapi hari ini…
Satu bungkusan sampai di rumah. Di dalamnya, kek butter. Kek yang penuh rasa, kenangan dan kasih yang tak terucap. Umi tak tahan, air mata jatuh sendiri. Bukan sebab kek – tapi sebab rasa kasih yang masih hidup, walau kami pernah berjauhan tanpa kata.

Di saat itu, umi benar-benar faham:

Cinta manusia yang benar, akan kembali… bila kita benar-benar serahkan ia kepada Tuhan

Kini umi tak lagi mempersoalkan kenapa umi rasa jauh hati dulu. Kerana yang membawa rasa adalah Tuhan dan yang menggerakkan tangan untuk menghantar kek hari ini juga adalah Tuhan.

Setiap yang ditarik, adalah untuk umi lebih hampir kepada Allah.
Setiap yang dikembalikan, adalah anugerah yang kini aku pandang
dengan penuh syukur, tanpa lagi rasa bergantung…
tapi penuh kesedaran:
segala kasih, datang dan kembali kepada Allah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *