Kepada kamu…
Yang sibuk berbicara tentang dia,
Yang menyebarkan cerita yang tidak pernah kau semak kebenarannya,
Yang menjaja kata-kata kononnya demi agama,
Sedangkan nadanya penuh cemburu dan curiga.
Tahukah kamu…
Wanita itu yang kau kecam,
Adalah wanita yang memeluk aku saat aku ingin mati?
Dialah yang mengangkat wajahku dari tanah,
Saat aku tidak punya apa-apa selain air mata.
Dia tidak tanya apa agamaku,
Dia tidak soal berapa banyak dosa yang ku pikul.
Dia hanya peluk… dan berkata,
“Allah masih cinta padamu sayang.”
Adakah itu salah?
Adakah lembutnya pelukan dan terangnya cahaya yang dia beri,
Membuat kamu gelisah kerana ia tidak datang dari kamu?
Kamu fitnah dia dengan kata-kata “sesat”,
Kamu cemar namanya dengan tuduhan tanpa bukti.
Kamu cakap konon mahu menjaga umat,
Tapi yang kamu racuni adalah kepercayaan wanita-wanita yang sedang mencari jalan pulang.
Kamu tidak berada di situ ketika kami rebah.
Kamu tidak genggam tangan kami ketika kami hampir lemas.
Kamulah yang diam.
Kamulah yang menghilang.
Tapi dialah… wanita itu,
Yang kau panggil “sesat”
Telah memulangkan ramai wanita kepada Tuhannya –
Dengan penuh lembut, penuh kasih, penuh harapan.
Jadi hari ini,
Aku berdiri dan berkata:
Jika kamu jatuhkan dia, kamu cuba jatuhkan kami semua yang pernah dia bangkitkan.
Kami bukan pengikut buta,
Kami saksi.
Kami tahu siapa dia – dan Tuhan tahu.
Kami tidak perlukan kau untuk bersetuju.
Tapi kami juga tidak akan biarkan kamu membunuh cahaya dengan kata-kata yang gelap.
Kami memilih jalan cinta.
Dan cinta ini telah menyelamatkan kami dari kehancuran.
Semoga kamu juga temui jalan pulangmu.
Tanpa perlu memadamkan cahaya orang lain.