Kenangan ini adalah hadiah kepada semua datuk yang pernah menjadi cahaya dalam kehidupan cucunya.
Dalam Lekuk Tengkuk Atuk
Dalam tangan kasar ada belaian,
Dalam diam ada panduan.
Setiap langkah ke pasar jadi hadiah,
Setiap gurau jadi cahaya.
Lif pertama bukan hanya naik ke tingkat,
Tapi membuka dunia kanak-kanak.
Teka-teki jadi pelita malam,
Ketupat anyaman jadi warisan dalam.
Atuk, lekuk tengkukmu tiada,
Tapi kasihmu tak pernah kurang.
Doaku jadi benang kasih
Menganyam syurga dalam setiap kenangan.
Umi dilahirkan dalam sebuah keluarga yang harmoni dan penuh kasih. Ada mak dan ayah, ada atuk dan uwan di kedua-dua belah, ada mak dan bapa saudara yang ramai. Meriah. Namun, yang paling membekas di hati, adalah kenangan bersama atuk sebelah mak.
Semasa kecil, rumah kami berdekatan dengan keluarga mak. Di situlah umi membesar dengan penuh kehangatn – bersama atuk dan uwan, serta adik beradik mak yang masih bujang. Umi lebih rapat dengan mereka dan atuk, adalah pusat segala rasa sayang yang lembut tapi tegas.
Atuk adalah seorang tukang kayu. Beliau pernah hidup di zaman Jepun, dan umi selalu membayangkan kekuatan zaman itu dalam tangan yang membelai kami dengan kasih. Walau hidupnya sederhana, atuk sangat pemurah dan peramah.
Satu momen yang umi masih ingat, atuk bawa umi dan abang umi ke hospital baru di Seremban, semata-mata nak bagi kami rasa naik lif. Kedengaran kecil, tapi pada waktu itu, itu adalah dunia yang baru bagi kami. Atuk nak kami rasa keajaibannya bersama beliau.
Setiap kali pulang dari pasar, pasti ada sesuatu dibawanya untuk kami. Umi masih ingat gurauan atuk yang buat aku percaya sehingga sekarang:
"Cuba tengok tengkuk atuk ni, tak ada pun lekuk. Itu tandanya atuk tak kedekut"
Masih terngiang gelak tawa kami, sambil makan makanan ringan yang dibelinya.
Atuk juga tidak lokek dengan pujian. Suatu hari uwan pulang lewat dari ziarah jiran. Umi yang masih baru di dapur membantu atuk panaskan lauk untuk makan tengahari. Terkial-kial menggunakan dapur minyak tanah. Atuk tersenyum gembira dan memuji berkali-kali dan umi rasa dilihat, rasa dihargai.
Sesuatu yang paling umi banggakan sampai hari ini, atuk ajar umi menganyam ketupat. Sambil menganyam, atuk beri teka-teki. Umi masih ingat semuanya – termasuk soalan yang umi tanya kepada anak-anak umi sekarang.
"Bagaimana seorang pemuda nak bawa harimau, serumpun sireh dan kambing ke seberang sungai menaiki sampan kecil?"
(Sireh itu mungkin bekalan, tapi harimau dan kambing?. Harimau tak boleh tinggal dengan kambing dan kambing pula tak boleh tinggal dengan sireh
Nak tahu jawapan? Hehe, tunggu episod seterusnya nanti.
Ada satu amalan kecil yang umi pegang hingga kini iaitu menjawab kesejahteraan bila bersin. “Alhamdulillah”, “Yarhammukallah”, “Yahdikumullah” – ini semua atuk yang ajar. Umi percaya, selagi umi buat dan ajar anak-anak umi, pahalanya akan berpanjangan sampai kepada atuk. Semoga atuk terus dalam rahmat dan kasih sayang Allah.
Terima kasih atuk kerana pernah hadir dalam hidup umi dan meninggalkan jejak yang tak mungkin hilang. Lelaki pertama yang mengajar umi erti kasih sayang tanpa syarat.