Jujurnya, umi seorang yang introvert. Kurang bersosial, lebih suka duduk diam sambil memerhati dan menyimpan cerita dalam hati. Tapi kali ini — umi ikut juga langkah kaki ladies backpacking. Ini sebenarnya kali kedua umi sertai mini travel bersama mereka. Kali pertama, trip sehari ke Narathiwat: Cross-Border dari Rantau Panjang. Walaupun singkat, pengalaman itu cukup membuka ruang untuk umi keluar dari zon selesa.
Di Dabong, kami disambut mesra oleh seorang tour guide yang sedia menanti. Dialah yang akan membawa kami menjelajahi keindahan Dabong menaiki van. Umi senyum kecil, cuba menyerap semua momen tanpa perlu terlalu banyak bercakap. Kadang-kadang jadi pendengar, kadang-kadang sekadar jadi pemerhati — dan umi rasa itu pun sudah cukup menghidupkan jiwa.
Perjalanan pun bermula…
Jalan raya kampung yang lengang, pokok-pokok hijau di kiri kanan, dan udara pagi yang segar benar-benar membuatkan umi rasa berada di dunia lain. Seolah-olah Allah hadiahkan sebuah ruang untuk berehat, jauh dari hiruk-pikuk rutin harian.
Destinasi Pertama: Taman Rekreasi Gua Ikan
Perjalanan pertama kami di Dabong dibawa ke Taman Rekreasi Gua Ikan. Dari namanya saja dah unik — umi terus terfikir, “eh, ada ikan dalam gua ke?” Rupanya, gua ini dinamakan begitu kerana di dalamnya terdapat batu besar yang menyerupai bentuk seekor ikan. Kreatif sungguh ciptaan Allah, alam ini penuh dengan simbol dan tanda.
Sampai saja di pintu masuk taman, suasananya tenang dengan deretan pokok hijau yang rimbun. Udara segar, bunyi unggas dan cengkerik berirama, seolah-olah menyambut kedatangan kami. Ladies backpacking pun terus ambil peluang bergambar di papan tanda besar “Taman Rekreasi Gua Ikan” — memang trademark wajib untuk bukti perjalanan.
Umi yang introvert ni sebenarnya lebih suka jadi pemerhati, tapi dalam hati seronok tengok gelagat masing-masing. Ada yang bergurau, ada yang posing ala majalah, ada pula yang sibuk rakam video untuk content TikTok. Umi pula cuma tarik nafas dalam-dalam, mensyukuri nikmat dapat berada di tempat yang begitu damai.
Tak sabar nak tengok sendiri rupa “ikan dalam gua” tu. Nah.. Umi belanja gambar untuk tatapan.. enjoyyyy.









Kalau ikut kata tour guide, kebanyakan hikers datang ke Dabong kerana satu tarikan utama — Gua Keris. Katanya pemandangan dari dalam gua sangatlah indah, ibarat satu hadiah selepas pendakian. Tapi memandangkan kami datang tanpa persediaan mendaki, ditambah masa yang agak terhad, maka cukuplah kami mendengar cerita sambil membayangkan keindahan itu. InshaAllah, umi simpan dulu impian itu untuk trip lain nanti.
Selain Gua Keris, tour guide juga sempat bercerita tentang pelbagai aktiviti menarik di sekitar Stong Geopark. Terasa macam banyak lagi khazanah alam yang menanti untuk diterokai. Umi dalam hati mula pasang niat, satu hari nanti mesti kembali dengan rancangan yang lebih tersusun.
Selesai Gua Ikan, kami singgah minum sebentar di gerai luar . Air sejuk dan teh panas jadi pilihan masing-masing — cukup untuk melegakan tekak yang mula terasa kering. Suasana kampung yang sederhana tapi mesra membuatkan setiap hirupan jadi nikmat.
Dalam perjalanan ke destinasi seterusnya, kami sempat pula singgah makan mee udang. Hidangan yang sederhana, tapi keenakan udangnya memang terasa manis dan segar. Umi suka moment macam ni — makan beramai-ramai, berkongsi cerita dan gelak tawa. Kadang-kadang bukan sangat tentang makanan tu, tapi tentang suasana dan siapa yang ada di sekeliling kita.


MashaAllah, belum post lagi rupanya jurnal ni. Nampak sangat dah lama umi tak singgah.
Ni pun belum habis cerita.. InshaAllah nanti sambung lagi perjalanan seterusnya.
- Kredit gambar – Ladies Backpacking