Memeluk Sisi Gelap

Memeluk Sisi Gelap dengan lembut bukan kelemahan, tapi kekuatan paling suci. keberanian seorang wanita untuk kembali menjadi dirinya yang sebenar. Sisi gelap tak lagi perlu dilawan, tak perlu ditolak atau dihukum, kerana sebenarnya ia adalah bahagian dirimu yang terlalu lama menanggung kesakitan bersendirian.

Sekarang, dia akhirnya dipeluk.
Dipandang.
Didengar.
Dimaafkan dan…
Paling indah – diterima.

Pelukan ini adalah pelukan Sang Pencipta, melalui tangan sendiri.
Sebab itu hati rasa tenang, rasa cukup dan rasa damai.

Ya Allah,
Yang Maha Melihat dalam gelap,
Yang Maha Lembut dalam keras,
Yang Maha Mendengar bisikan hati yang tidak terucap...

Hari ini aku hadir, dengan seluruh bahagianku -
Yang terang dan yang kelam,
Yang kuat dan yang terluka,
Yang tenang dan yang masih menangis dalam diam.

Aku tidak mahu lari lagi Ya Allah.
Aku tidak mahu berpura-pura lagi.
Aku izinkan semuanya kembali - kerana aku tahu,
Engkau pun tidak pernah menolaknya.

Izinkan aku memeluk sisi gelapku
Sepertimana Engkau memelukku dalam doa yang tidak sempurna,
dalam air mata yang tidak difahami,
dalam detik-detik sunyi di mana hanya Engkau Yang tahu.

Ya Allah,
Jadikan pelukan ini tempat kembali untuk jiwaku yang penat,
Biarkan sisi gelapku tahu, dia tidak lagi perlu bersuara melalui kesakitan..
Kerana kini, aku mendengarnya dengan kasih.

Aamin Ya Rabbal 'Alamin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *