Luahan Seorang Wanita Yang Pernah Hilang, Kini Sedang Kembali

Untukmu, Wahai Ustazah Yang Dihormati.

Wahai ustazah...
Aku mendengar doamu yang lembut,
Agar dijauhkan daripada ujian suami,
kerana engkau takut akhlakmu tercemar oleh luka.
Aku faham... itu satu doa yang jujur.
Datang dari seseorang yang mahu menjaga hatinya dari kehancuran.

Namun, izinkan aku menyambung suara ini, dari sisi kami yang telah diuji.
Bukan dengan teori, tapi dengan darah, air mata dan jiwa yang hampir binasa.
Kami tidak hanya takut hilang akhlak.
Kami telah hilang dan kami sedang cari jalan pulang.
Pulang ke maruah, ke iman, ke diri yang pernah bersinar -
yang hampir padam kerana cinta yang mengkhianati.

Jangan hukum kami, wahai ustazah.
Jika engkau belum merasa bagaimana rasanya memeluk suami yang tidak lagi jujur.
Bagaimana rasanya menjaga keluarga sambil memendam retak dalam dada.
Kami bukan wanita yang lemah.
Kami adalah wanita yang terluka terlalu lama.
namun tetap bangun setiap pagi dengan harapan yang sedikit.
Masih menyuap anak-anak,
masih berdoa walau hati remuk.

Kami tahu tentang sabar.
Kami tahu tentang redha.
Tapi kami juga tahu, bahawa mempertahankan diri juga satu ibadah.
Bahawa membebaskan diri dari kezaliman juga satu bentuk cinta kepada Tuhan.
Jangan jadikan akhlak satu hukuman.
Akhlak juga kadang perlu dibasuh dengan realiti, dengan rasa, dengan luka, dengan tangisan.

Wahai ustazah...
Ilmumu tinggi dan kami hormati.
Tapi tolong, selami hati kami sebelum menilai.
Kerana tidak semua dosa datang dari niat jahat -
Kadang datang dari jiwa yang terlalu lama dibiarkan tanpa perlindungan.
Dan dengarlah ini...
Kebangkitanku bukan datang dari ceramahmu.
Tetapi dari wanita itu - yang kau kecam.
Wanita yang pernah terlanjur.
Yang pernah dikritik.
Yang pernah kau jadikan contoh di pentas agama.

Tapi tahukah kau...
Dialah yang memelukku saat aku rebah,
Dialah yang menangis bersamaku,
Dialah yang tak mempersoalkan dosaku,
kerana dia pun pernah di situ dan...
melalui pelukannya, aku rasa cinta Tuhan mengalir.
Melalui tangisannya, aku sedar bahawa luka boleh menjadi cahaya.
Kami tidak minta simpati.
Kami cuma mahu difahami.
Kami wanita yang sedang kembali.
Dengan luka dan cahaya yang ditiupkan semula dalam nafas kami.

Dengan penuh cinta,

Seorang wanita yang memilih untuk kembali kepada Tuhan.
Setelah hampir hilang segalanya kerana cinta kepada manusia.

Semoga jadi sinar untuk wanita lain.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *