23 Jun 2025, Puchong.
Hari ini adalah hari ulang tahun kelahiran Yus, ibu susuan Harraz. Sejenak umi terkenang 10 tahun yang lalu. Umi mengandung dan melahirkan Harraz ketika umi berjuang untuk menyiapkan tesis pascasiswazah. Fikiran tegang. Mana nak fikir Harraz dan anak-anak lain yang masih memerlukan perhatian, mana pula tesis yang tertangguh kerana soal selidik yang masih belum diedarkan. Susu semakin kurang. Tak tahulah disebabkan oleh faktor umur umi yang dah mencecah empat puluh tahun, keletihan atau stres dengan tesis.
Dalam kekalutan itu, umi dapat ilham untuk mencari ibu susuan buat Harraz. Allah sentiasa merencanakan yang terbaik untuk hamba-Nya. Sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada ayah Harraz, umi hubungi adik umi, kak lang yang rajin menggunakan media sosial. Secara kebetulan, kak lang baru kenal seseorang yang katanya mempunyai bekalan susu ibu yang banyak. ‘Pucuk dicita, ulam mendatang’.
Segalanya dipermudahkan. Umi terus hubungi Yus melalui telefon dan pada awalnya mereka (Yus dan suami) agak keberatan. Maklumlah, tak pernah kenal. Tiba-tiba nak mintak susu. Haha..
Tapi mereka menjawab secara baik dan nak berjumpa terlebih dahulu. Umi pun tanpa lengah, terus bawa Harraz ke rumah mereka. Semuanya teratur seperti angin lembut.
Alhamdulillah pertemuan tersebut telah membawa ke satu perhubungan yang berkekalan hingga kini. Harraz membesar dengan susu umi sendiri dan tambahan susu ibu Yus. Setiap minggu, umi akan dapatkan bekalan susu yang telah di sejuk beku. Yus adalah ibu kepada 6 orang anak yang kesemuanya perempuan. Jadilah Harraz satu-satunya anak lelaki Yus.
Kini, selepas 10 tahun berlalu, umi melihat Harraz membesar dengan hati yang lembut dan jiwa yang penyayang. Umi yakin, setiap titisan susu yang mengalir dari dada seorang ibu – samada ibu sendiri atau ibu susuan – adalah titisan kasih sayang yang Allah titipkan sebagai asbab tumbesaran ruhani seorang anak.
Umi bersyukur dipertemukan dengan Yus, wanita mulia yang tanpa syarat telah memberi sebahagian dari dirinya kepada anak umi. Dalam dunia yang penuh kepentingan diri, keikhlasan Yus adalah cahaya yang menuntun umi untuk terus percaya bahawa masih ramai yang hidup dengan hati.
Semoga Harraz membesar menjadi lelaki yang tahu menghargai wanita, yang mengenang jasa dan yang sentiasa pulang ke sumber kasih: Allah dan ibu-ibu yang melahirkan dan menyusukan.
(video sambutan hari kelahiran Harraz yang ke 10 tahun yang diraikan oleh Yus dan keluarga. Terharu dengan kebaikan Yus sekeluarga)
Dalam kering susu dan malam yang lelah,
Ada doa yang tak pernah umi tinggalkan.
Tuhan kirimkan Yus, dengan dada penuh kasih
dan tangan yang terbuka.
Dua dada menyusukan satu jiwa,
Lalu membesarlah Harraz dałam pelukan dua hati
yang tak pernah saling bersaing
kerana cinta tak pernah bersyarat.
Jika kelak Harraz bertanya,
“Kenapa aku lebih lembut dari angin?”
Jawabnya mungkin,
kerana kasih disusukan dari dua wanita
yang hatinya dipilih Tuhan