Ya Allah…
Pagi ini aku datang kepada-Mu, dengan hati yang mungkin belum sepenuhnya sembuh. Aku datang dengan tubuh yang masih menyimpan letih dan perih. Aku tetap hadir… kerana aku tahu, Engkau tidak pernah menolak sesiapa yang pulang dengan kelembutan.
Lembutkanlah langkahku hari ini. Berikanlah aku kekuatan yang tenang, bukan kekerasan yang memaksa. Tuntun hatiku agar tidak menyimpan apa yang membebankan jiwaku.
Jika hari ini aku diuji, jadikanlah ujian itu jalan untukku mengenal-Mu lebih dalam. Jika hari ini aku diberi rezeki, jadikanlah aku hamba yang bersyukur dan tidak lalai.
Pagi ini, aku izinkan diriku dicintai. Aku izinkan tubuhku bernafas dengan selamat, dan aku izinkan Engkau Ya Allah, menuntunku pulang ke pelukan-Mu… sekali lagi.
Aamiin Ya Rabbal ‘Alamiin.
Puisi Lembut buat diriku – “Aku Mulakan dengan CINTA”
Hari ini, aku tidak mahu tergesa,
Aku mahu berjalan perlahan,
mendengar kicauan burung,
dan menyambut cahaya pagi
seperti pertama kali ia datang padaku
Aku mahu menyentuh pipiku,
sambil berkata:
'Terima kasih sayang.. kerana kau masih disini.'
Aku mahu minum air dan rasakan,
alirannya masuk ke tekakku.
Aku mahumemeluk seluruh diriku,
dengan lembut, dengan cukup'
dengan penuh cinta - tanpa perlu
menjadi sesiapa,
tanpa perlu terburu-buru sembuh.
Hari ini aku mulakan dengan cinta.
Biar cinta itu menjemput apa pun yang akan datang,
kerana aku sudah tahu,
aku sedang disayangi.
Jurnal ini menjadi saksi bahawa aku telah memilih untuk hidup dengan lembut, meski dunia seringkali keras dan cahaya akan bersama – dalam diam, dalam doa, dalam puisi.